24 May 2018

Berjuang Menegakkan Kalimah Allah



[ Berjuang Menegakkan Kalimah Allah ]

Abu Musa al-Asyaari bahawa sesungguhnya seorang lelaki Badwi datang menemui Baginda Nabi ﷺ dan bertanya;

 الرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِلْمَغْنَمِ وَالرَّجُلُ يُقَاتِلُ لِيُذْكَرَ وَيُقَاتِلُ لِيُرَى مَكَانُهُ مَنْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ؟

“Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang berperang untuk diingati serta membuktikan kejaguhannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?”


Rasulullah ﷺ menjawab;

مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا فَهُوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimah Allah, maka beliaulah yang berada di jalan Allah.” (Riwayat Muslim)
:
Kisah ketika pemerintahan Saidina Umar Al Khattab ketika menghadapi Rom kuasa besar dunia ketika itu memberikan banyak ibrah.
:
Antara yang kita boleh dapat adalah berjuang menegakkan agama ini bukan kerana batang tubuh seseorang. Ianya berlaku apabila peristiwa pertukaran panglima perang daripada Khalid Al walid kepada Ab Ubaidah Al Jarrah. Umum mengetahui bahawa Khalid adalah panglima perang yang sangat pintar dalam mengatur strategi peperangan.
:
Perlantikan Abu Ubaidah menunjukkan kemenangan Islam bukanlah kerana batang tubuh seseorang akan tetapi sebenarnya sekuat mana keimanan dan tawakal kepada Allah. Ini membuktikan bahawa perjuangan menegakkan kalimah Allah bukan perkara main-main kerana ia berkait dengan dosa dan pahala.
:
Di sana memerlukan kebijaksanaan para pemimpin dalam mengatur strategi mengikut nas dan ijtihad. Juga memerlukan komitmen dan keikhlasan para amilin dalam melaksanakan strategi dangan sebaik mungkin agar peroleh kemenangan dan sesungguhnya kemenangan itu adalah milik Allah SWT.

Kita berdoa agar tergolong dalam kalangan mereka yang  ikhlas berjuang kerana Allah semata-mata

Wallahualam.

Muhammad Farizuan Saroji
28/4/2018

5 May 2018

Kepentingan Ilmu Pengetahuan


Assalamualaikum w.b.t 
Apa khabar semua?
Moga kalian terus dilimpahi kasih sayang dan rahmatNya.

Baik, topik kali ini kita akan membicarakan mengenai kepentingan ilmu pengetahuan…

Mari renung seketika..
Mengapa ilmu itu penting?

Dan kenapa kita sering kali dituntut untuk belajar?
Kenapa? Kenapa? Dan kenapa?

Rasulullah s.a.w ada bersabda,
Maksudnya; “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut ilmu itu adalah suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam.”

Hadis Rasulullah ini jelas menunjukkan bahawa ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Agama Islam malah mengingatkan tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu.

Antara kepentingan ilmu pengetahuan ialah;

1. Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ;
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير
Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"


2. Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia.

 Firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 9 ;
قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون. انما يتذكر أولولوا الألبب
Maksudnya; “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana"

3. Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya.

Firman Allah dalam surah al-Fathir, ayat 28 ;
انما يخشى الله من عباده العلمؤا
Maksudnya ; “Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu”

4. Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagian hidup di dunia dan di akhirat, memberikan kekuatan ketika dalam kesusahan dan ketika berhadapan dengan musuh.

5. Dengan ilmu manusia dapat menjalankan ibadah dengan sempurna, samada ibadah umum atau ibadah khusus dan dapat melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

6. Ilmu agama atau ilmu yang terdapat dalam al-Quran dan Al-sunnah akan menjadi benteng yang dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau dalam mengejar kebendaan duniawi.

7. Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti ilmu kejuruteraan, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian dan sebagainya dapat membantu kemaslahatan hidup manusia di dunia.

8. Ilmu adalah salah satu langkah bagi menjana pembangunan negara kerana melalui ilmu sahajalah yang dapat membezakan antara yang hak dan yang batil.



Wallahua'lam.