28 September 2015

"Tinta DakWHAT???"

Apa itu Tinta Dakwhat?

Tinta Dakwhat ialah sebuah risalah penulisan di bawah Persatuan Rakan Masjid (PRM), UiTM Puncak Alam yang dikelolai oleh Biro Dakwah dan Penerangan, PRM. Risalah ini telah mendapat sokongan sepenuhnya daripada Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Puncak Alam. Sejak awal penubuhannya pada Mac 2015 yang lalu, risalah ini telah berjaya diedarkan kepada warga kampus dan sudah tentu kami berharap penyebaran risalah ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Dari semasa ke semasa, kami datang dengan idea yang baru dimana kami bercadang untuk menyebarkan lagi medium dakwah penulisan ini melalui medium yang lain yang sesuai dengan peredaran zaman dan perubahan teknologi yang semakin diminati kini.


Mengapa “Tinta Dakwhat”, bukan Tinta Dakwah atau Tinta Dakwat?

Tinta Dakhwat ialah gabungan nama antara Dakwah dan Dakwat. Mengambil kira faktor tercetusnya risalah ini ialah melalui penulisan, maka kami menjadikan dakwat itu sebagai simbolik kepada perkara asas dalam sebuah penulisan.

Seterusnya, mengambil kira penulisan ini adalah bertemakan penyampaian mesej yang berunsur Islami, maka kami mengambil kosa kata “dakwah” yang sinonim dengan penyampaian tentang Islam, sebagai perkataan yang berkaitan dan seterusnya dengan berbekalkan simbolik kepada perkara-perkara tersebut kami menggabungkan ia dan menamakan risalah ini sebagai Tinta Dakwhat.


Siapakah disebalik Tinta Dakwhat?

Team Tinta Dakwhat dianggotai oleh beberapa orang penulis yang kebanyakannya terdiri daripada para pelajar UiTM Puncak Alam sendiri. Tambahan pula, ada juga diantara mereka yang sudah lama berkecimpung di dalam bidang penulisan dan juga ada yang sudah mengeluarkan buku hasil tulisannya sendiri.

Selain itu, kami juga mempunyai ahli yang mempunyai minat masing-masing yang perlu diketengahkan seperti grafik dan puisi yang mana kami percaya inshaa Allah dengan izinnya, melalui medium ini juga mesej dakwah dapat disampaikan kepada golongan yang bukan sahaja terhad kepada masyarakat kampus, tetapi juga golongan masyarakat awam di luar sana umumnya.


Harapan

Adalah menjadi harapan kami, penulisan ini bukan sahaja bertujuan untuk membuka hati manusia untuk kenal kepada Ilahi, justeru ini ialah salah satu jalan untuk kami khususnya memperbaiki diri sendiri untuk menjadi manusia yang lebih baik disisi Ilahi.