22 May 2016

[1 Hari 1 Hadis]


"Amalan yang paling dicintai ALlah adalah amalan yang berterusan meskipun sedikit" (HR Bukhari & Muslim) Terus istiqomah dengan amalan yang dilakukan.. Lakukan walaupun hanya sedikit.. Kemudian hari tambah sedikit demi sedikit... #Mencapai Redha Allah #Ilhamdariilahiuntukhati

5 May 2016

CARILAH TEMAN YANG MENGAJAKMU KE SYURGA DAN BUKANNYA YANG MENGAJAK MU KE NERAKA.

Assalamualaikum kepada pembaca-pembaca saya yang setia. Hari ini saya tepanggil untuk menulis satu artikal yang berkaitan dengan persahabatan. Allah mencipta semua makhluk di bumi ini berpasang-pasangan termasuk manusia. Manusia tidak akan mampu untuk hidup berseorangan dan tidak mampu untuk lari daripada berkawan kerana berkawan itu adalah fitrah bagi manusia. Walau bagaimanapun, kita perlulah berhati-hati dalam memilih sahabat sepertimana Firman Allah dalam Surah Az-Zukhruf: 67,
"Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa"
Maka ,berhati-hatilah dalam memilih  teman dan sahabat kerana mungkin mereka akan menjadi penyebab kita untuk lambat ke syurga atau terjerumus ke neraka.

Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat  gerak-gerinya teringat akan mati. Begitulah Islam umpamakan seorang sahabat yang baik. Dalam Islam, faktor untuk memilih kawan  dan sahabat sangat dititikberatkan. Hubungan  persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia dan dituntut oleh Allah dan Rasul-Nya kerana sahabat berperanan untuk membentuk personaliti sahabatnya yang lain. Jika sahabat kita seorang yang taat kepada perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya, maka lama kelamaan kita akan terpengaruh dengan segala tindak tanduknya dan turut  menjadi seorang hamba yang taat. Peranan seorang sahabat sangat penting kerana mereka memberi pengaruh yang besar kepada sahabat-sahabatnya yang lain, kerana itulah perlunya kita untuk mencari seorang sahabat yang baik dan mampu untuk kita contohi akhlaknya.

Pepatah Arab ada mengatakan , ‘Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan penjual besi, kita akan menerima tempias percikan apinya.’ Jelas pepatah ini menunjukkan bahawa seseorang yang mempunyai akhlak yang baik akan memberi banyak keuntungan kepada sahabatnya yang lain dan dapat mempengaruhi mereka untuk turut berakhlak mulia. Manakala seseorang yang mempunyai akhlak yang buruk pula hanya akan mendatangkan banyak kesan yang negatif kepada sahabat-sahabatnya yang lain. Kadang kala, mereka terpaksa bersabar dan bertahan dengan sikap buruk sahabat mereka yang buruk itu atau mungkin mereka akan turut terpengaruh untuk bersikap buruk kerana pergaulan mempengaruhi didikan otak. Oleh itu, kita hendaklah bergaul dengan orang-orang yang beradab dan berbudi mulia yang kita dapat mengutip manfaat daripadanya.

Apakah contoh atau ciri-ciri sahabat yang baik?? Ada seorang bijak berpesan kepada anaknya, sekiranya engkau mahu mencari seorang sahabat, perlulah mencari sahabat yang sifatnya seperti berikut :

Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan;
Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat;
Dia mendorongmu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.
Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.


Walau bagaimanapun, bukanlah saya bermaksud untuk kita tinggalkan dan biarkan sahabat-sahabat kita yang telah lari jauh daripada Allah seperti tidak solat , tidak puasa , tidak mengormati ibu bapa dan sebagainya. Sememangnya bersahabat dengan orang yang baik akhlaknya dan taat kepada perintah Allah adalah wajib dan perlu bagi kita untuk terus beristiqamah dalam melakukan kebaikan, tetapi pada masa yang sama , kita juga perlulah membantu sahabat-sahabat kita yang telah jauh tersimpang untuk  mereka  keluar daripada kejahilan mereka dan kembali kepada jalan yang lurus. Mungkin tidak semua sahabat-sahabat kita suka untuk menerima teguran secara direct, tetapi sedikit sebanyak apabila kita menunjukkan contoh dan  akhlak yang baik kepada mereka, mungkin Allah akan menggerakkan hati mereka untuk berubah kearah kebaikan.  Jangan pula kita yang terikut dengan sikap buruk mereka.

Kesimpulannya , sahabat yang baik  adalah seseorang yang selalu mengingatkan kita apabila kita dalam keadaan yang alpa dan sentiasa bersedia untuk membantu kita apabila kita mengalami kesusahan. Bukan sahaja kita perlu untuk mencari sahabat yang baik dan soleh, tetapi juga kita perlulah menjadi seorang sahabat yang baik dan soleh kepada orang lain. Apabila bersahabat, sememangnya lumrah untuk kita kadang kala terasa antara satu sama lain, tetapi janganlah kerana masalah yang kecil menyebabkan hubungan sesebuah persahabatan itu menjadi goyah. Selesaikanlah masalah yang timbul  dengan penuh hikmah dan meminta maaf adalah sesuatu yang mampu untuk melembutkan hati sahabat yang lain apabila sedang bertelagah. Bukanlah dengan meminta maaf itu bermaksud kita yang bersalah, tetapi untuk merapatkan semula ukhuwah yang renggang. Bersahabat bukan sahaja untuk didunia tetapi juga hingga ke akhirat.

Saya akhiri penulisan saya dengan perkongsian sebuah hadith dari Abu Said al-Khudri ra, dalam hadis yang panjang, Rasulullah s.a.w bersabda tentang syafaat bersahabat dengan orang yang soleh di hari kiamat,
‘Setelah orang-orang mukmin itu dibebaskan daripada neraka, demi Allah, Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh kalian begitu gigih dalam memohon kepada Allah untuk memperjuangkan hak untuk saudara-saudaranya yang berada di dalam neraka pada hari kiamat. Mereka memohon kepada Allah : Wahai Tuhan kami, mereka itu (yang tinggal di neraka) pernah berpuasa bersama kami, shalat, dan juga haji.
Dijawab: ”Keluarkan (dari neraka) orang-orang yang kalian kenal.” Hingga wajah mereka diharamkan untuk dibakar oleh api neraka.
Para mukminin ini pun mengeluarkan banyak saudaranya yang telah dibakar di neraka, ada yang dibakar sampai betisnya dan ada yang sampai lututnya.
Kemudian orang mukmin itu memberitahu kepada Allah,”Ya Tuhan kami, orang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan daripada neraka, sudah tiada lagi.”
Allah berfirman,Kembali lagi, keluarkanlah yang masih memiliki iman seberat dinar.”
Maka dikeluarkanlah oleh orang mukmin tadi ramai orang yang disiksa di neraka. Kemudian mereka membritahu kepada Allah, ”Wahai Tuhan kami, kami tidak meninggalkan seorangpun orang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan…” (HR. Muslim no. 183).



-Raja Ameera-
Fakulti Perakaunan, 
UiTM Selangor kampus Puncak ALam