5 November 2015

MATA MATA


Allah kurniakan dua mata pada manusia. Satu mata untuk melihat kebaikan manusia lain, satu lagi mata untuk melihat keburukan diri sendiri.

Andai kita sibuk melihat buruk cela kita sendiri, pasti dunia ini bebas dari hasad dengki, perasaan iri hati dan fitnah yang menjatuhkan maruah individu. Malah dunia juga akan sarat dengan manusia yang sentiasa meningkat produktivitinya tiap hari. Manakan tidak, bayangkan, apabila kita audit dan muhasabah diri tiap masa, fokus kita akan tertumpu pada kualiti kerja kita yang kurang memberangsangkan. Fitrah manusia inginkan kesempurnaan bukan? Bila rambut kusut, kita pasti akan rapikan dengan kemas. Bila baju kedut, kita seterika hingga tampak tajam pada bucu lengan. 

Begitu juga akhlak. Bila mana kita sibuk melihat kebaikan orang lain, nescaya dunia ini aman dari perbuatan mengumpat dan memfitnah. Sebelum sempat meletakkan syak wasangka pada orang yang membuat kesalahan, usulkan seribu sangka baik pada mereka. Tak rugi bersangka baik, percayalah! 

Apabila kita bersangka baik dengan sahabat dan orang sekeliling kita, hati pun tiada rasa gundah gulana. Hidup pun akan jadi lebih optimis kerana kita melihat dari sudut pandang yang positif!
Malangnya kebanyakan manusia kini hanya nampak kebaikan diri sendiri. Malah ada yang berani mengkafirkan dan menuduh orang lain dengan tuduhan yang menjejaskan kehidupan sosial mereka. 

Namun kita lupa bahawa Allah yang Maha Melihat, telah menutup aib kita. Segala kebaikan, kesolehan, dan keindahan kita pada pandangan manusia lain adalah atas belas kasih Allah yang menjaga rapi aib kita. Jadi, adakah kita lebih hebat daripada Allah sehingga berani membuka aib sendiri dan manusia lain??

Syifa Aqilah
Biro Dakwah & Penerangan 
PRM Junior 2015

No comments:

Post a Comment