18 October 2015

[Risalah Tinta DakWHAT : Edisi 3 - Isu Semasa]


KENAPA TAK NAK AMBIL TAHU?


 Oleh Nohara, Fakulti Sains Kesihatan


Sekarang ini negara kita hangat dengan isu berkaitan pemilihan pemimpin peneraju negara.  Ada yang mahu pemimpin sekarang diganti dengan pemimpin baru dan tidak kurang juga ada yang mahu kekal seperti yang sedia ada. Bukan negara kita sahaja, malah negara-negara lain juga sesekali turut ‘bergoncang’ dengan isu panas seperti ini. Sebagai rakyat, kita bertanggungjawab dalam membuat pilihan yang tepat  untuk memilih pemimpin yang terbaik untuk negara kita kerana kita mengamalkan sistem demokrasi. Persoalannya di sini apakah ciri-ciri pemimpin yang perlu kita telitikan?


Ciri-ciri Pemimpin Menurut Islam


Banyak aspek yang perlu kita perhatikan dalam memilih pemimpin. Di sini disenaraikan tiga di antaranya yang menjadi keutamaan ;Taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

“Katakanlah; taatilah Allah dan Rasul-Nya, jika kamu berpaling maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir.”
(Surah Al-Imran, ayat 32)

Beriman dan beramal soleh

“Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.”
(Surah Al-Baiyinah, ayat 7)

Memimpin dengan Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah nabi.

“Sekalipun hanya seorang hamba yang dijadikan pemimpin yang memerintah kamu tetapi sesuai dengan kitabullah maka hendaklah kamu dengar dan mentaatinya.”
(Hadis riwayat Muslim no. 1838)


Kita semua adalah pemimpin

Ciri-ciri pemimpin di atas bukan sekadar terbatas pada pemilihan pemimpin pada sesebuah negara, namun melibatkan semua pemilihan seseorang ketua, meskipun hanya di peringkat kampung, universiti, jabatan, mahupun pemimpin bagi sesebuah keluarga(suami). Hal ini kerana pemimpin yang mentaati Allah, mereka akan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya kerana mereka yakin amanah itu akan dipersoalkan dihadapan Allah ketika di akhirat kelak.
“Setiap dari kamu adalah pemimpin. Dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya.”

Hadis riwayat Bukhari & Muslim

Dan jangan kita lupa bahawa sesungguhnya setiap dari  kita merupakan pemimpin, iaitu kita bertanggungjawab dalam memimpin diri kita sendiri agar melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya.


Kesimpulan

Ketahuilah bahawa pemimpin bagi sesebuah negara, bandar, jabatan mahupun apa saja bentuk organisasi yang wujud memainkan peranan penting dalam memastikan organisasi itu terus maju dan berkembang dengan jayanya. Oleh itu pilihlah pemimpin yang terbaik seperti yang telah disarankan dalam Islam. Hal ini kerana pentingnya pemimpin itu ibarat tiang pasak  bagi sesebuah bangunan, andai tiang  itu tidak kukuh, maka goyahlah binaan tersebut.

No comments:

Post a Comment