18 October 2015

[Risalah Tinta DakWHAT : Edisi 3 - Perkongsian]

DEAN LIST OR DEEN LOST?

Tahukah anda apakah matlamat hidup kita sebagai manusia khususnya sebagai hamba Allah?

Sering kita lupa dan acapkali kita perlu diingatkan tentang matlamat hidup kita yang sebenar iaitu mardhotillah atau maksudnya redha Allah. Jadi sebagai seorang hamba, kita perlulah sedar bahawa pada satu saat nanti kita akan kembali kepada pencipta dan dunia bukan selama-lamanya milik kita. Hakikatnya, akan ada satu perjalanan yang lebih jauh dan lebih mencabar yang kita perlu kita tempuh pada masa akan datang.

Apabila kita sedar, setiap yang kita lakukan bermatlamatkan Allah sebagai tujuan utama, maka sedikit sebanyak kita akan menjadikan dan mencorakkan kehidupan kita supaya selari dengan panduan yang digariskan oleh Islam.

Apa dalilnya?

Allah berfirman di dalam surah Az-Zariyat ayat 56 yang maksudnya, “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”

Maka disini, jelaslah kita perlu mengabdikan diri dan menjadikan Allah sebagai tujuan utama dalam kehidupan kita. Mengambil contoh sebagai seorang pelajar, malang dan rugi andai kita menjadi pelajar cemerlang tetapi sebenarnya adalah kita menjadi pelajar cemerlang yang hilang. Apakah yang hilang itu? Hilang identiti sebagai seorang muslim yang mana selayaknya seorang muslim itu perlu menjadikan pelbagai aspek kehidupan sebagai salah satu medium untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Pernahkan kita biasa melihat atau kita sendiri pernah merasakan hidup seperti serba tidak kena walaupun anda diberi kelebihan yang banyak berbanding dengan orang lain?

Ataupun mungkin kita sendiri mahu menjadi seorang yang diberi banyak nikmat atau kelebihan oleh Allah tetapi hakikatnya nikmat itu yang membuatkan kita dari hari kehari semakin hari semakin hanyut semakin menjauh dengan Allah.

Ayuh muhasabah diri! Jangan hanya kerana anda ingin mendapat gred kecemerlangan dalam pelajaran, anda hilang gred kecemerlangan dalam agama! Pilihan di tangan anda. Ukuran sebenar sebuah kejayaan bukanlah pada kejayaan yang sementara tetapi kejayaan abadi sebagai seorang muslim ialah apabila kita mendapat dan meraih keberkatan disisi Ilahi.

Oleh Amz, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan



No comments:

Post a Comment